About

Sunday, January 30, 2011

Teknik solekkan dr juru solek terkenal.... huhuhu



LIRIKAN mata menggoda mampu memikat hati sesiapa saja yang memandangnya. Lantaran itu, si pemilik mata besar dan bulat badam lebih beruntung kerana teknik solekan tidak terlalu sukar, sementara mainan rona warna juga tidak menjadi masalah.
Lantaran itu, pembayang mata pelbagai warna, penggaris mata dan pelentik bulu mata diperkenalkan supaya ia tidak menghampakan pemiliknya. Tetapi, perlu ditekankan di sini bahawa teknik menggunakannya juga perlu betul kerana silap ‘langkah’ alamatnya wajah nampak comot dan kelihatan pelik.

Rona terang untuk mata: 
Pemilihan warna bersesuaian dapat serlahkan mata supaya nampak lebih besar
Begitupun, ada teknik solekan bersesuaian yang dapat membantu menambah seri mata antaranya kaedah mewarna kelopak mata dengan pembayang pelbagai rona sebelum menggariskan alis untuk menyerlahkan lagi bentuknya. Bagi yang ingin nampak seimbang, lantas maskara dicapai sebagai langkah terakhir dalam teknik solekan mata.
Kesannya jelas bagi kebanyakan mata jenis bulat dan besar kerana pemiliknya mudah ‘mempermainkan’ apa saja rona warna mengikut kesukaan mereka. Tetapi, ia bukan perkara mudah bagi si pemilik mata jenis sepet, kuyu atau Oriental dan kecil.
Ketua Juru Solek jenama Shu Uemura Malaysia, Frederick Ng, berkata mata kecil dengan satu kelopak nipis adalah mata yang unik dan rumit yang dimiliki kebanyakan wanita Asia kerana mata jenis itu berdepan dengan banyak cabarannya dalam konteks solekan.
Katanya, bagi mata berkenaan, jenis solekan mata ‘smokey’ sangat sesuai kerana jenis solekan itu dapat membantu menyerlahkan lagi bentuk mata malah mata tampak lebih seksi. Solekan mata ‘smokey’ perlu digabungkan dengan tiga rona iaitu daripada terang hingga ke warna gelap seperti coklat gelap dan hitam. Warna berkenaan perlu disapu pada bahagian atas dan bawah mata supaya dapat menyerlahkan bentuk dan sekali gus tampak lebih galak.
“Lakukan satu trasformasi pada mata jenis kuyu dengan jenis solekan klasik kucing. Solekan klasik berkenaan paling digemari kerana mata yang kelihatan penat dan kuyu membantu mata tampak sihat dan lebih eksotik.
“Tekniknya mudah saja iaitu selepas menyapu pembayang mata daripada warna cerah, alis mata digaris dengan penggaris mata cecair atau pensil. Garisan berkenaan betul-betul berdekatan dengan bulu mata yang dioles rapi dari bahagian sudut dalam hingga ke sudut luar mata. Bagaimanapun, teknik berkenaan akan tampak lebih sempurna sekiranya menggunakan berus alis mata khasSebagai ketua pasukan ‘Accredited Artists Shu Uemura Malaysia’, Ng yang sudah menceburi bidang kecantikan sejak 10 tahun lalu berkata, mata kecil masih boleh tampak cantik dan besar apabila menggunakan teknik yang tepat.
“Selepas mengamati masalah itu, saya dapati pembayang mata daripada warna terang paling sesuai untuk mata jenis berkenaan kerana rona lembut itu membantu untuk menyerlahkan keindahan mata sebenar. Tambahan pula, jika menggunakan warna penggaris mata yang terang pada alis mata atas dan juga bawah, kesannya sangat drastik dan seimbang.
“Ini kerana memilih warna terang sebagai rona paling sesuai kerana ia mampu memberi kesan cembung. Walaupun, kebanyakan wanita berpendapat rona gelap dikatakan lebih mampu menyerlahkan bentuk serta nampak lebih besar sebaliknya warna berkenaan akan menunjukkan kesan cengkung sekali gus memberi impak mata tampak lebih kecil,” katanya.
Beliau tidak menafikan, mata yang sangat diidam-idamkan oleh semua wanita ialah mata jenis bulat badam dan besar. Sehubungan itu, katanya, untuk solekan mata jenis bulat tidak terlalu sukar kerana bentuknya serba boleh dalam mencipta pelbagai jenis rupa dan gaya mengikut kesukaan pemilik mata menawan itu.
“Bagaimanapun, kita menyarankan untuk mata bulat badam itu supaya menggariskan alis kelopak mata dengan penggaris mata secara nipis saja. Tidak perlu terlalu tebal seperti kadar yang diperlukan oleh mata jenis sepet atau kuyu. Bulu mata untuk jenis mata bulat badam pula lebih mudah dioles maskara sebagai langkah terakhir solekan mata,” katanya.
Ng antara ketua kumpulan Accredited Artists 2009 yang akan bergabung dengan kumpulan International Artistic Director Kakuyasu Uchiide dan International Chief Make-up Artist Yuji Asano dalam usaha menginterpretasikan rupa dan memperkembangkan koleksi baru serta mencipta visual jenama global. Selain beliau, lima lagi juru solek profesional Shu Uemura iaitu Lisa Yap, Jayce Liew, Peggie Ng, Anges Ng dan Lavynia Tam.
Berbicara lagi mengenai solekan mata, Frederick berkata, tidak dinafikan mata adalah bahagian paling sukar dalam sesi solekan selain teknik mencantikkannya memakan masa paling lama. Hakikatnya, siapa yang tidak mahu mata kelihatan sempurna selepas bersole, kerana teknik solekan yang betul membantu seseorang wanita bertambah yakin dengan diri masing-masing.
Selain itu, tren kecantikan berubah setiap musim. Namun, sebagai individu yang sentiasa mahu kelihatan segar dan cantik perlu belajar daripada pengalaman dan olahan mekap sendiri. Walaupun gaya fesyen terkini dan pakar kecantikan antarabangsa menyarankan supaya memilih warna terkini mengikut setiap musim, setiap wanita perlu mencari formula yang bersesuaian tanpa terlalu mengikuti tren terbaru sepenuhnya.
“Daripada memilih perubahan berkenaan dan tampak tidak sesuai, tidak salah sekiranya kita memilih warna dan cara penampilan yang selesa pada diri sendiri. Berpeganglah kepada gaya sendiri dan anda tidak perlu lagi risau mengenai tren kecantikan yang akan diperkenalkan mengikut musim pada masa akan datang,” katanya......


4 comments:

mohamad rahmat said...

prempuan oh perempuan

entry terkini:banjir di 5 negeri ragut 3 nyawa

Anis Anisa said...

huhuhuhuh.. ye

sTrawbery said...

sy suka solekan smokey eyes.entry yg bagus tok djadikan info ;)

Anis Anisa said...

belajar la... x susah tau.... selain cntik.. solekan itu pon akan menampakkan mata kita kelihatan besar dan menawan